UEC AGEN PEMUSNAH PERPADUAN RAKYAT

Posted on 4 views

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO menentang sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bahawa kerajaan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) seperti yang terkandung di dalam manifesto Pakatan Harapan.

Menurut beliau, selain merendahkan taraf sekolah aliran kebangsaan, ia sama sekali tidak mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan dan hanya melebarkan jurang pemisah kaum di negara ini.

“UEC hanya pengiktirafan sendiri (self recognition) oleh Pengetua dan Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan tidak sedikit pun termasuk di dalam perkara Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Ini kerana kertas peperiksaan disediakan oleh pengelola SJKC dan bukan oleh Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan. Hanya ada kertas Bahasa Melayu yang standardnya lebih rendah dari SPM dengan mata pelajaran lain kesemuanya dalam bahasa Mandarin, model dari Taiwan.

“Saya yakin orang Melayu pada amnya turut menentang pengiktirafan ini kerana ia akan merendahkan martabat sekolah aliran kebangsaan, yang kemudiannya akan menyukarkan lepasan sekolah ini memasuki pasaran pekerjaan”, katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini..

Tegas beliau andai pengiktirafan ini berlaku, ia sekali gus membolehkan pelajar yang mempunyai kelulusan UEC mendapat pekerjaan di jabatan-jabatan kerajaan.

“Ini pasti akan memberikan saingan kepada para pemegang SPM yang jelas menepati Dasar Pendidikan Kebangsaan. Keistimewaan kepada UEC ini tidak adil kepada pelajar lepasan SPM,” ujarnya.

Malah kata Ismail lagi, lebih membimbangkan pengiktirafan UEC ini akan membuka ruang kepada sijil-sijil lain yang membelakangkan Dasar Pendidikan Kebangsaan, di mana risikonya nanti, akhirnya tiada siapa lagi yang akan menghormati Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Tambahnya semua pihak tahu bahawa pengiktirafan UEC ini membelakangkan dasar negara serta meremehkan sekolah aliran kebangsaan.

“Sedangkan kerajaan sepatutnya menumpukan kepada usaha ke arah perpaduan nasional dan bukannya menjerumuskan rakyat berbilang kaum ke dalam segmentasi pendidikan seperti ini.

“Sistem yang digunapakai di Taiwan ini sama sekali tidak berada dalam sistem pendidikan negara dan dianggap sebagai tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang antaranya mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.