NAJIB CUKUP! JANGAN PUTAR BELIT ISU GST – SAIFUDDIN NASUTION

Posted on 3 views
Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna hari ini menasihatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak jangan memutar belitkan kenyataan kementerian tentang GST bukanlah satu-satunya sebab kenaikan kos sara hidup.

Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata para pegawai kementerian aktif memantau harga barangan dan melayani aduan pengguna sejak kadar GST dijadikan sifar pada 1 Jun.

“Kami dapati berlaku peningkatan jumlah aduan, hampir 3 kali meningkat, dan lebih separuh daripadanya tentang harga harga barang tak diturunkan di premis makanan dan kafeteria.

“Najib tak perlu “spin” isu itu. Ia mengenai etika perniagaan,” katanya pada sidang media di satu majlis rumah terbuka Aidilfitri hari ini.

Saifuddin berkata kementerian mengambil berat isu etika perniagaan dan akan meningkatkan lagi langkah-langkah pantauan harga.

“Pantauan ini akan membawa kepada barangan dirampas, kompaun dikenakan dan dibawa ke mahkamah kerana menyalahi akta. Itu sedang berlaku,” katanya.

Semalam, Najib mendakwa Saifuddin mengakui GST bukan sebab utama kenaikan harga barangan pengguna.

Cukai itu diperkenalkan Najib pada April 2015, dan pengkritik menyalahkannya sebagai penyebab inflasi dan kenaikan harga.

Najib bagaimanapun berkata harga barangan nampaknya tidak turun selepas kadar GST dijadikan sifar.

Menghapuskan GST merupakan janji utama dalam manifesto Pakatan Harapan menuju pilihan raya 9 Mei lepas.

Kerajaan PH mahu memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk menggantikan GST.

Saifuddin berkata Najib menyebabkan kerosakan besar pada negara sepanjang menjadi perdana menteri, dan langkah membetulkan masalah itu akan mengambil masa.

Beliau mengingatkan Najib ada banyak isu yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup, bukan sahaja kos makanan dan minuman.

Beliau berkata kos perumahan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan utiliti juga menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup.

“Sekurang-kurangnya 6 aspek menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup. Kita harus terima hakikat itu.

“Dia mesti tahu dasar-dasarnya membawa kepada kenaikan kos sara hidup. Dia tidak boleh pilih satu sisi sahaja,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.