Datuk Seri Ahmad Bashah Yakin Tindakan KFA Rehatkan Marcote Adalah Tepat

Posted on 4 views
Isu merehatkan Ramon Marcote, masih hangat diperdebatkan. Secara teknikalnya, kebiasaan jurulatih yang direhat sukar untuk kembali semula ke pasukan utama, kecuali ada sesuatu yang sangat drastik berlaku.

Buat masa ini, jawatan ketua jurulatih diberikan sekali lagi kepada Nidzam Adzha yang dilantik menjadi interim.

Semalam Puan Sri Ginney Chew menyatakan kekecewaan beliau di atas tindakan KFA yang disifatkan beliau sebagai unilateral. Bekas pemain Kedah, Akmal Rizal pula senada dengan KFA dalam isu ini.

Pihak KFA pula bertegas dengan keputusan mereka dan menyatakan ia adalah tindakan terbaik diambil oleh mereka dalam usaha menyelamatkan pasukan Kedah. Dipetik dari sumber Bernama, Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah menyatakan:

“Kita sudah terlepas dua piala utama iaitu Piala Sumbangsih dan Piala FA dan hanya tinggal empat perlawanan sahaja lagi.”

“Sebab itu kita beri peluang kepada Mohd Nidzam Adzha untuk bawa pasukan tempuh baki perlawanan ini dengan harapan dapat menaikkan semula kedudukan pasukan.”

Datuk Seri Ahmad Bashah tahu ada peminat yang berang dengan keputusan KFA itu. Namun beliau mahu peminat terus memberikan sokongan kepada pengurusan KFA dan pemain mereka bagi meneruskan saingan musim ini.

“Saya tahu ada peminat yang marah dengan keputusan untuk merehatkan Marcote tetapi saya minta peminat semua untuk terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada pengurusan KFA dan pemain dalam baki perlawanan yang tinggal ini.”

Datuk Seri Ahmad Bashah menyatakan, pihak KFA sudah memberikan jawatan terbaik kepada Marcote sebagai jurulatih pembangunan pasukan Kedah.

Beliau ada mendengar Ramon Marcote masih dalam proses mempertimbangkan tawaran itu dan akan menentukan masa depan beliau dalam masa terdekat. Datuk Seri Ahmad Bashah terbuka menerima apa sahaja keputusan Ramon Marcote.

Source : Semuanya Bola

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.