Arab Saudi Ada Ramuan Untuk Cipta Kejutan Di Piala Dunia

Posted on 5 views
Persiapan rapi selama dua bulan sebelum kempen Piala Dunia Russia 2018 membuka tirai berjaya meningkatkan keyakinan pemain Arab Saudi, kata jurulatihnya Juan Antonio Pizzi.

Dilantik jurulatih pada November lalu, Pizzi berkata, sekalipun masih ada perkara yang perlu dipertingkatkan, tetapi latihan bersama pemainnya hampir setiap hari selama dua bulan mulai membuahkan hasil.

“Saya pernah melatih pasukan di Argentina, Sepanyol, Mexico dan pasukan kebangsaan Chile,” kata jurulatih kelahiran Argentina tetapi beraksi bersama skuad kebangsaan Sepanyol itu.

“Apa yang paling utama adalah mencari profesionalisme, tahap yang kompetitif. Kami sudah melakukannya kepada semua pemain supaya tahap persaingan dalam pasukan menjadi lebih tinggi.

“Ia bukan saja membabitkan keupayaan fizikal, tapi juga kecergasan, diet dan pemakanan iaitu profesionalisme secara umum.

“Bagusnya, pemain ini amat mudah dibentuk dan sudah menyesuaikan diri dengan apa yang kami inginkan daripada mereka.”

Satu daripada cabaran utama Pizzi adalah untuk memperbaiki ketajaman pasukannya di depan gawang dengan Arab Saudi hanya menjaringkan lapan gol dalam tujuh perlawanan terakhir dengan penyerang sejati tunggal pasukan, Mohamed Al-Sahlawi juga dilihat masih bergelut.

“Saya fikir apabila berkata mengenai penyerang, prestasi mereka berkait rapat dengan kepercayaan diri dan ia hanya boleh meningkat apabila mereka melakukan apa yang mereka pilih untuk lakukan iaitu menjaringkan gol,” kata Pizzi yang juga bekas penyerang kelab Barcelona, Tenerife dan Valencia.

“Tapi menjaringkan gol bukan satu-satunya sebab mengapa penyerang berada dalam pasukan dan ia bukan satu-satunya tugas mereka.

“Kerana itulah penting bagi kami untuk memberikan mesej kepada semua pemain bahawa ketika perlawanan, semua perlu bekerjasama untuk mendapatkan gol.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.