Alistair Sahkan JDT Sedang Dalam Rundingan Dengan Pemain Amerika Latin

Posted on 6 views
Pengarah Teknikal kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards mengesahkan pada hari ini bahawa mereka sedang berada di dalam proses rundingan peringkat akhir dengan seorang pemain yang berasal daripada Amerika Latin.

Setelah berjaya mengesahkan bekas pemain Lyon, Harry Novillo sebagai pemain gantian untuk menggantikan Jorge Pereyra Diaz, khabar angin terus bertiup kencang akan pemain asing seterusnya yang akan dibawa masuk, apabila JDT turut mengumumkan seorang lagi pemain turut akan dibawa masuk bagi menggantikan Luciano Figueroa.

Berikutan itu beberapa pemain termasuk bekas pemain seperti Al-Haji Kamara dan Patito Rodriguez turut dikaitkan bersama juara Liga Super empat kali berturut-turut itu.

Namun dalam kenyataan terbaru, Alistair menafikan kedua-dua pemain berada di dalam radar JDT.

Dalam kenyataan tersebut, Alistair dipetik sebagai berkata:

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengumumkan pemain luar negara baharu yang menggantikan Luciano Figueroa adalah seorang penyerang berusia 26 tahun berasal daripada Brazil.” ”

“Ia bukanlah Al-Haji Kamara atau Patito Rodriguez seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.”

Al-haji Kamara

“Dua pemain ini adalah pemain yang bagus dan profesional. Kami hargai jasa mereka ketika bersama kelab sebelum ini. Kami sentiasa mengucapkan selamat maju jaya buat mereka berdua. Tetapi mereka tiada dalam senarai kami sebagai pemain baharu untuk menggantikan Luciano Figueroa.”

Dalam kenyataan yang sama, Alistair turut menggariskan polisi kelab bola sepak berkenaan yang tidak akan mengambil bekas pemain untuk menyertai mereka.

“Kelab Bolasepak JDT tidak akan mengambil semula pemain yang pernah berkhidmat untuk kelab dan ini adalah polisi terbaru kelab yang dititahkan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor baru-baru ini.”

“Jika ada pemain yang ditandatangani, ia adalah pemain baharu, bukan bekas pemain JDT. Oleh itu, saya ingin meminta kerjasama kepada semua pihak diluar sana untuk berhenti daripada mengelirukan para penyokong. Terima kasih.”

Jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dijangka akan dibuka pada Mei hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.