WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI: PH KINI PERTUBUHAN BERDAFTAR

Posted on 8 views
Tiada lagi sebarang masalah atau kekangan buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menjadi salah satu komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) mulai hari ini.

Serentak dengan itu juga Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu BERSATU serta HARAPAN kini boleh menjalankan kegiatan masing-masing selaras dengan objektif serta perlembagaan parti.

Dalam kenyataan dikeluarkan KDN hari ini keputusan berkenaan dibuat kerajaan selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan notis terdahulu berkuat kuasa 16 Mei.

Notis yang dibatalkan itu, kata KDN, ialah berkaitan arahan pembubaran sementara BERSATU.

“Di bawah Seksyen 16(6) Akta Pertubuhan 1966, ROS boleh membatalkan mengikut 14(5) akta yang sama apabila maklumat yang diminta telah diberikan,” katanya.

BERSATU yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan kesulitan baru-baru ini apabila ROS mengarahkan parti berkenaan dibubarkan sementara berkuat kuasa 5 April 2018.

Perintah itu diumumkan Ketua Pengarah ROS Surayati Ibrahim.

Perkembangan itu sangat menarik perhatian kerana dibuat sehari sebelum Datuk Seri Najib Razak – ketika itu masih menjadi perdana menteri dan pengerusi BN – mengumumkan pembubaran parlimen.

ROS juga ketika itu tidak mendaftarkan HARAPAN sebagai gabungan parti politik sehingga ia tidak memungkinkan PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebagai satu pasukan.

Bagaimanapun tidak seperti jangkaan kebanyakan orang, HARAPAN sebaliknya berjaya mengatasi BN lalu membentuk kerajaan persekutuan. Dr Mahathir yang juga pengerusi BERSATU serta HARAPAN dilantik menjadi perdana menteri.

Muhyiddin yang juga presiden BERSATU pula diberi portfolio sebagai menteri di KDN.

Hari ini surat pemakluman mengenai pembatalan pembubaran sementara BERSATU serta sijil pendaftaran HARAPAN disampaikan sendiri oleh kepada Dr Mahathir oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim di Putrajaya.

Turut hadir pemimpin kanan parti komponen HARAPAN, seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (AMANAH), Muhyiddin dan Lim Guan Eng (DAP).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.