Perancang Legenda Deportivo La Coruna Yang Dibayangi Kecederaan

Posted on 4 views
Juan Carlos Valeron, satu nama yang mungkin tidak begitu dikenali berbanding Ronaldinho, David Beckham dan juga Micheal Ballack di kancah bola sepak dunia pada satu ketika.

Bagi yang mengikuti perkembangan pasukan Deportivo La Coruna bermula tahun 2000 pasti akan mengenali siapakah gerangan pemain tengah yang memakai jersi bernombor 21 tersebut.

Kebolehan teknikal individu, kawalan bola dan kualiti hantaran yang dimiliki Valeron jelas mempesonakan.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau merupakan antara nadi utama buat Deportivo ketika kelab tersebut menjadi pesaing kejuaraan La Liga sekitar tahun 2000 hingga 2004.

Karier Juan Carlos Valeron sebelum ke Deportivo La Coruna

Valeron yang kini berusia 43 tahun memulakan karier profesional bersama Las Palmas, kelab yang tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan utama.

Pada tahun 1997, beliau memilih untuk berkelana ke Real Mallorca dan berjaya membantu kelab tersebut menduduki tangga kelima La Liga serta menjadi naib juara Copa Del Rey.

Aksinya berjaya mencuri tumpuan Atletico Madrid untuk membawanya ke kota Madrid.

Perpindahan ke kelab Madrid tersebut bukanlah perjalanan yang diimpikannya apabila Atletico hanya menamatkan saingan musim 1998/99 di tempat ke-12.

Lebih malang pada tahun berikutnya, mereka tersingkir ke Liga Segunda buat pertama kali sejak 60 tahun.

Deportivo destinasi yang tepat buat Valeron

Pengurus Deportivo La Coruna pada ketika itu (musim 2000/01), Javier Irureta bertanggungjawab bagi membawa masuk Valeron ke Estadio Riazor bersama-sama Jorge Francisco Molina dan Joan Capdevilla yang turut direkrut dari Atletico Madrid.

Walaupun tidak banyak kejuaraan diraih Valeron sepanjang karier bersama Deportivo La Coruna tetapi sumbangannya akan sentiasa diingati sehingga ke hari ini.

Laman web rasmi kelab juga turut meletakkan nama Valeron sebaris dengan legenda kelab yang lain seperti Roy Makaay, Diego Tristan dan ramai lagi.

Kehadiran Valeron bagi memperkuatkan jentera tengah Deportivo ternyata lebih memudahkan tugas di bahagian serangan yang digalas Roy Makaay dan Diego Tristan bagi menggempur gawang lawan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.