Mahu Rebut Kebelasan Utama | TERENGGANU 11

Posted on 8 views

KUALA TERENGGANU: Selepas kali pertama diberi kepercayaan berada dalam kesebelasan utama Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, penjaga gol berpengalaman, Wan Muhammad Azraie Wan Teh, 32, mengakui kian bersemangat dan begitu teruja.Malah bekas penjaga gol utama Pahang musim lalu itu tanpa berselindung juga memasang impian untuk merebut status sebagai penjaga gawang nombor satu skuad yang terkenal dengan slogan Peteh Terengganu Peteh itu selepas hanya memanaskan bangku simpanan sebelum ini.

“Setiap pemain pastinya berhajat untuk beraksi dalam setiap perlawanan dalam misi untuk meningkatkan lagi prestasi semasa diri dan pasukan, oleh itu selepas kali pertama diturunkan bertemu bekas pasukan minggu lalu, saya bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik selepas ini jika masih diberi peluang.

“Alhamdulillah dalam perlawanan itu rezeki memihak kepada kami, pasukan TFC berjaya mencatat kemenangan 1-0  walaupun kali pertama saya diturunkan sebagai penjaga gol hingga tamat perlawanan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada barisan jurulatih yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mengawal pintu gol selepas sebelas perlawanan termasuk dalam saingan Piala FA,” kata Wan Azraie yang juga berhasrat menyarung jersi kebangsaan.

Bagaimanapun pemain kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu mengakui saingan untuk merebut posisi sebagai penjaga gol nombor satu dalam skuad Penyu itu cukup sengit kerana tiga lagi penjaga gol iaitu Mohd Suffian Abdul Rahman, Mohd Syazwan Yusoff dan Faizal Yusoff juga mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Biarpun sengit tapi ini adalah perkembangan yang sihat dalam pasukan kerana ia mampu meningkatkan prestasi masing-masing, namun yang penting saya perlu bekerja lebih keras lagi terutama ketika sesi latihan dan juga dalam setiap perlawanan.

“Jika sekali lagi saya disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika bertemu Perak, 22 Mei ini, matlamat utama saya adalah untuk mengelak pintu gol daripada dibolosi selain mengharapkan jentera serangan meledak jaringan bagi menebus kembali kekalahan 2-3 dalam aksi pusingan pertama,” kata Wan Azraie.      

Sebelum ini barisan jurulatih skuad Penyu itu yang diketuai Irfan Bakti Abu Salim gembira dan memuji corak permainan yang diperagakan pemain itu ketika bertemu skuad Tok Gajah sehingga berjaya menggagalkan impian skuad itu meledak sebarang jaringan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.