Luahan Hati Nora Dalam ADA DALAM TIADA

Posted on 4 views

Semua orang pasti berasa sedih dengan kehilangan seseorang yang tersayang, lebih-lebih lagi kehilangan suami tercinta. Apatah lagi bila semuanya berlaku dalam sekelip mata tanpa disangka dan diduga. Belum puas hidup bersama, terpaksa melalui hari-hari mendatang tanpa teman hidup. Hilang sudah tempat bermanja, mengadu nasib dan bergantung harap.

Nora Ada Dalam Tiada

Rasa rindu yang membara tetapi hanya mampu dipendam. Kehilangan yang sangat besar sehingga dunia rasa begitu sepi tanpa kehadirannya. Begitulah yang ingin disampaikan oleh Nora Ariffin atau lebih dikenali sebagai Nora menerusi single terbarunya “Ada Dalam Tiada”.

Lagu ini merupakan dedikasi teristimewa Nora untuk arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, seorang komposer dan penerbit terkenal yang meninggal dunia pada 24 Mac tahun lalu akibat serangan jantung.

Sesuai dengan lagu luahan hatinya sendiri yang menceritakan keperitan dan kesedihannya sebagai seorang isteri yang sentiasa merindui dan mendoakan insan yang pernah berkongsi hidup dengannya selama 25 tahun, Nora menyatakan,

“Ini adalah lagu yang paling peribadi saya pernah nyanyikan sepanjang karier seni saya. Saya mencurahkan sepenuh jiwa dan raga ketika merakamkan lagu ini. Lebih menyedihkan lagi, ini merupakan pertama kali juga saya masuk ke studio rakaman tanpa kehadiran arwah suami”. Umum mengetahui bahawa selain bergelar suami, Johan juga merupakan antara insan pertama dalam industri muzik yang membimbing Nora dalam merencana karier seninya sejak awal kemunculannya pada tahun 1994.

“Ada Dalam Tiada” merupakan hasil ciptaan bersama komposer Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen manakala senikatanya ditulis oleh penulis lirik tersohor iaitu Habsah Hassan. Cukup terkesan dengan lirik sentuhan Habsah Hassan, Nora menyatakan,“Sebenarnya saya sendiri sukar untuk menjelaskan dengan kata-kata apa yang saya rasa selama ini. Tetapi Habsah Hassan bukan sahaja dapat menterjemahkan perasaan saya dengan begitu baik sekali malah ianya dilakukan dalam bentuk senikata yang indah. Saya turut menangis bila pertama kali saya membaca lirik tersebut”. Pemilihan Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen yang sinonim dengan penciptaan melodi mendayu-dayu digandingkan dengan senikata bermadah Habsah Hassan, dan nyanyian penuh jiwa Nora berjaya menghasilkan karya yang dijangka mampu mengusik hati pendengar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.