KHAI BAHAR DAN HAEL HUSAINI MASING MASING TERUJA NAK BALIK KAMPUNG

Posted on 4 views

1 Syawal yang bakal dirai esok memberi makna berbeza buat dua penyanyi popular ini.

Apatah lagi, limpahan rezeki yang diterima membuatkan mereka lebih bersyukur dengan nikmat yang ada.

Tolak tepi soal populariti, bagi Khai Bahar dan Hael Husaini, apa yang lebih penting adalah semangat kekeluargaan pada Aidilfitri.

Berkumpul bersama pada Aidilfitri sesuatu yang dinanti dan tidak boleh dilepaskan begitu saja.

Malah, tidak lengkap sambutan Aidilfitri dua bintang muda ini tanpa meraikan bersama peminat yang turut mengunjungi kampung halaman.

Berkongsi kisah sambutan Syawal tahun ini, baik Khai mahupun Hael, kedua-duanya selesa untuk lebih bersederhana. Tidak ada istilah untuk berlebihan bagi mengelakkan sebarang pembaziran.

Bagi Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin, 24, seperti kebiasaan tradisi pulang ke kampung halaman di Kangar, Perlis tidak dilupakan.

Menurut Khai, suasana Aidilfitri itu lebih ceria dan meriah jika disambut bersama keluarga. Apatah lagi, kawasan tempat tinggalnya masih mengekalkan konsep raya dulu-dulu.

“Alhamdulillah, tahun ini saya dapat cuti lama dan boleh pulang awal ke kampung. Sekurang-kurangnya saya masih berkesempatan untuk berpuasa dengan keluarga. Lagi satu, apabila di kampung saya boleh bantu emak buat persiapan raya.

“Seperti tahun lalu, saya buat permintaan kepada pihak syarikat rakaman untuk tidak menjayakan persembahan pada Aidilfitri. Saya bukan menolak rezeki, tetapi raya setahun sekali. Kalau boleh tidak mahu terlepas saat pagi raya untuk berkumpul dan saling bermaafan sebelum ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri.

“Saya juga menjadikan cuti Aidilfitri ini sebaik mungkin dengan beraya bersama keluarga. Saya juga ambil kesempatan untuk menziarahi sanak saudara dan rakan. Pada masa sama, saya menganggap cuti raya ini sebagai ruang untuk berehat selepas sekian lama bekerja,” katanya.

Pada masa sama, Khai turut mengalu-alukan peminat untuk berkunjung ke rumahnya. Malah, Khai yang popular menerusi lagu Luluh tidak pernah terdetik untuk berahsia jika dia pulang ke kampung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.