KERAJAAN PH DIMINTA NYATAKAN PENDIRIAN BERKAITAN AKTA BERITA PALSU DAN AKTA HASUTAN

Posted on 4 views

UMNO mempersoalkan pendirian terkini kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama ada ingin membatalkan atau merasa serba salah untuk membatalkan Akta Berita Palsu dan Akta Hasutan.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO melihat dengan Dap diberi kuasa untuk mencerminkan ‘kebebasan bersuara’ yang dilaung-laungkannya maka Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tersepit untuk menghuraikannya.

Katanya, selepas A Kadir Jasin mempersoalkan hak dan perbelanjaan Yang Dipertuan Agong, sehingga mendorong baginda membatalkan Rumah Terbuka Aidilfitri di Istana Negara, muncul pula pelbagai elemen hasutan yang perlu ditangani.

“Gesaan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin agar kerajaan mengharamkan semua sekolah tahfiz, adalah satu bentuk hasutan yang boleh menjerumuskan negara ke dalam pertikaian,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selaras dengan itu, UMNO ingin bertanya, apakah kerajaan benar-benar berhasrat menghapuskan dua akta berkenaan, dan tidak ingin bertindak ke atas elemen subversif seperti ini?

“ Jika benarlah, bermakna kerajaan menggalakkan penyebaran berita palsu, hasutan dan sebagainya oleh sesiapa saja. Ini membuka pintu kepada tercetusnya ketegangan kaum di Malaysia. Adakah ini yang rakyat mahu?

“Ini adalah bom jangka yang dipasang sendiri oleh ejen-ejen liberal dalam PH yang gagal dikesan radar pemimpin kerajaan. Ketahuilah ia boleh meledak di hadapan mata kita sendiri jika tiada tindakan diambil.

“UMNO kesal kerana selepas isu UiTM didesak menerima bukan Melayu, kini sekolah tahfiz pula menjadi alat untuk mencetuskan ketidakharmonian di kalangan masyarakat, khasnya orang Melayu.”

Soalnya, apakah ini kebebasan bersuara yang diingini oleh kerajaan dan apa pula alasan mereka terhadap gesaan agar golongan LGBT diberikan pelbagai hak di dalam agama dan masyarakat?

“Apa pula penjelasan yang boleh dibuat oleh Dr Mahathir mengenai Sisters in Islam yang dipimpin anaknya Marina, sedangkan ia jelas bertentangan dengan kehendak sebenar Islam?

“ Sudah banyak hasutan berlaku sejak PH membentuk kerajaan, dan ia dibiarkan saja walaupun sudah mula menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat berbilang agama dan bangsa di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.