KERAJAAN PH DIGESA BUKTIKAN MEREKA AMAL DEMOKRASI TERBUKA, BEBAS

Posted on 5 views

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Pakatan Harapan (PH) membuktikan kerajaan yang mereka kuasai hari ini lebih terbuka dan mengamalkan demokrasi bebas seiring dengan Malaysia baharu yang diwar-warkan sebelum ini.

Menurut beliau citra Malaysia baharu yang dicanang-canangkan haruslah dizahirkan dan bukannya mengambil sikap sebaliknya dengan menyekat atau pun mengekang mana-mana pihak hanya kerana berbeza fahaman politik.

“Kalau kita nak mewajahkan Malaysia baharu dengan suasana demokrasi yang terbuka saya harap kita harus mengotakan apa yang dihasratkan dalam Malaysia baharu ini dengan membenarkan bergerak secara adil serta secara bebas tanpa mengekang dan menyekat hanya kerana mereka ini berbeza pandangan daripada kita.

“Saya rasa jika kita hanya bercakap tetapi tidak mengamalkan apa yang kita cakap. Kita hanya bersikap hipokrit. Saya rasa pada waktu zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dianggap dan ditohmah zalim kita tidak pernah menyekat akaun mana-mana parti politik,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Jelas beliau kerajaan hari ini perlulah bersikap terbuka dan mengotakan apa yang diwar-warkan seiring dengan nilai-nilai demokrasi.

“Saya harap kerajaan yang ada haruslah mengotakan apa yang diwar-warkan kepada rakyat sebagai budaya politik baru, Malaysia baharu yang seharusnya subur nilai-nilai demokrasinya,” ujarnya.

Mengenai akaun parti yang dibekukan, beliau mengatakan tindakan itu sedikitpun tidak melumpuhkan perjuangan mereka.

“Pemimpin di peringkat akar umbi Pemuda sedia berkorban demi perjuangan. Saya bagi contoh jelajah di Sabah, Melaka dan Negeri Sembilan setakat ini, yang menyediakan urusan jamuan dan segala-galanya adalah kutipan daripada ahli-ahli kita. Malah saya turun ke sana hanya membayar tiket kapal terbang sendiri sahaja dan tidur di rumah yang disediakan oleh Ketua Pemuda dan bukannya bermalam di hotel dan sebagainya.

“Budaya yang ada hari ini adalah budaya pengorbanan demi sebuah perjuangan yang hari ini sudah mula mengakar di dalam parti. Sebab itulah jangan ingat apabila mereka membekukan akaun, mereka menyekat kami menyebabkan kami akan lumpuh tetapi apa yang kita dapat lihat apabila kita ditekan semangat ahli-ahli di peringkat akar umbi semakin membara dan mereka lebih tahu bahawa dengan keadaan akaun tidak ada…duit tidak ada mereka masih bersemangat untuk berjuang. Itu yang saya dapat lihat setakat jelajah hari ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.