KENAPA MENTERI2 PAKATAN HARAPAN JUGA PERLU PENASIHAT DAN RAMAI PEGAWAI KHAS?

Posted on 6 views
Salah satu amalan kerajaan BN pimpinan Najib Razak yang tidak kurang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat ialah keghairahan dari segi melantik penasihat-penasihat bertaraf menteri dan pegawai khas dalam pentadbirannnya.

Suatu ketika, jumlah penasihat bertaraf menteri bagi Najib pernah mencecah sehingga 9 orang, termasuk individu yang terpalit dengan skandal lembu NFC juga diberikan jawatan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, Najib juga mempunyai puluhan pegawai khas dan penasihat lain yang dilantik sebagai pembantunya.

Kunci yang diamalkan Najib mudah saja – asal sanggup menyokong dan bersekongkol dengan salah lakunya, maka dapatlah mereka jawatan tersebut.

Oleh kerana Najib sendiri mempunyai penasihat dan pegawai khas yang ramai, maka ramai menteri-menteri juga mengambil pendekatan yang sama di kementerian masing-masing.

Beberapa menteri ketika era BN didapati mempunyai ramai pegawai khas, suatu jawatan lantikan politik yang secara mudahnya adalah bertujuan memberi ganjaran kepada penyokong yang selama ini bersama mereka.

Dengan jumlah menteri yang dilantik Najib adalah teramai dalam sejarah iaitu 35 orang, ditambah dengan 9 lagi penasihat bertaraf menteri serta puluhan pegawai khas dan setiap menteri pula mempunyai beberapa pegawai khas lagi, bayangkanlah betapa banyak pembaziran yang telah dilakukan ketika era Najib berkuasa dahulu.

Dengan tumbangnya BN, harus diakui bahawa keinginan rakyat ialah tidak mahu lagi melihat gejala pembaziran itu terus berulang dalam kerajaan baru Pakatan Harapan.

Malangnya, belum punĀ  sampai 100 hari Pakatan Harapan mentadbir negara, menteri-menteri dan menteri besar atau ketua menteri seakan-akan sudah lupa kepada asas yang menyebabkan mereka berjaya dipilih sebagai kerajaan.

Pendedahan bagaimana Pejabat Perdana Menteri telah menghalang cubaan beberapa menteri untuk memberi ganjaran kepada penyokong masing-masing dengan menawarkan jawatan tertentu, sebenarnya adalah sesuatu yang amat memalukan.

Selain bercanggah dengan langkah-langkah penjimatan kerajaan dan tidak mematuhi pekeliling JPA, cubaan perlantikan itu juga menunjukkan ada menteri-menteri yang tidak memahami harapan rakyat yang telah memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.