JIKA TUN MAHATHIR PATUT KEMBALI JADI DOKTOR, APA PULA YANG SEPATUTNYA BUAT NAJIB DAN HADI SENDIRI?

Posted on 7 views
Kenyataan Presiden Pas, Hadi Awang yang menyatakan Tun Mahathir Mohamad lebih patut menjadi doktor di klinik 1Malaysia berbanding menjadi calon di Langkawi, secara tidak langsung memperlihatkan  bahawa Pas mahu Najib Razak terus menang dalam pilihanraya 9 Mei depan ini.

Kata-kata beliau itu adalah gambaran ketakutan dan keengganannya menerima kemunculan semula Tun Mahathir bertanding dalam pilihanraya, menjadi Perdana Menteri dan seterusnya berusaha menyelamatkan  rakyat dan negara daripada “kerosakan” yang diakibatkan oleh Najib selama ini. 

Hakikatnya, kesediaan Tun Mahathir bertanding dan aktif semula dalam politik bukanlah perkara baru, sebaliknya ia sudah pun diketahui umum sejak dua atau tiga tahun yang lalu lagi.

Cumanya, apabila semalam nama beliau disahkan akan bertanding di Langkawi, ia adalah bukti betapa Pengerusi Pakatan Harapan itu benar-benar serius untuk menyingkirkan Najib dan menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Kenapa baru sekarang Hadi risau dengan kembalinya semula Tun Mahathir serta menyarankannya menjadi doktor di klinik 1Malaysia saja?

Bukankah Tun Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini, maka apa yang hairannya jika beliau kembali semula ke jawatan itu?

Lagi pula, selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir telah terbukti cemerlang memajukan negara dan menaikkan imej Malaysia di mata dunia, bukannya seperti Hadi yang gagal waima cuma sepenggal sebagai Menteri Besar Terengganu.

Dengan rekod cemerlangnya itu dan keinginan Tun Mahathir cuma untuk menyelamatkan negara, mengapakah Hadi begitu takut dengan kembalinya semula beliau menjadi Perdana Menteri?

Adakah dengan menunjukkan ketakutan kepada kembalinya Tun Mahathir itu bermakna Hadi lebih mahu Najib terus dikekalkan lagi?

Tetapi, kenapa Hadi tidak berterus-terang saja dengan menyatakan sokongan terbukanya kepada Najib?

Untuk apa Hadi berselindung dengan mengatakan lebih baik Tun Mahathir kembali menjadi doktor saja daripada bertanding dalam pilihanray, walhal maksudnya begitu mudah difahami sebagai suatu sokongan kepada Najib?

Antara Najib dan Rosmah dengan Tun Mahathir dan Siti Hasmah, apakah Hadi tidak sedar siapa yang lebih merosakkan dan mendatangkan kemudaratan kepada rakyat dan negara?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.