Jelajah Muzium Bersama Dazrin Kamaruddin dalam JOM MUZIUM

Posted on 9 views

Jelajah Muzium Bersama Dazrin Kamaruddin Dalam “Jom Muzium” di TV1

Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan budaya dan sejarahnya tersendiri. Terdapat banyak muzium yang dibina untuk mempamerkan artifak-artifak berharga dan juga catatan-catatan sejarah. Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan sebuah dokumentari baharu bertajuk “Jom Muzium” sedang bersiaran setiap Rabu, pukul 4.30 petang di TV1.

Dazrin berada di Muzium 3D Langkawi

Dokumentari yang dihoskan oleh Dazrin Kamaruddin ini mengajak penonton menjelajah ke muzium-muzium yang terdapat di Malaysia sambil mengenali dengan lebih dalam lagi tentang sejarah, keunikan bangsa dan kepelbagaian budaya di Malaysia.

Dazrin di kawasan Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Ikuti pengacara ke Muzium Arkeologi, Lembah Bujang yang terletak di atas Bukit Batu Pahat, Merbok, Kedah. Ia merupakan satu-satunya muzium di Malaysia yang mempamerkan koleksi arkeologi yang membuktikan kewujudan pusat perdagangan antarabangsa dan perkembangan agama Hindu dan Buddha di Asia Tenggara kurun ke 2 Masihi hingga ke 12 Masihi. Artifak Arkeologi membuktikan bahawa Lembah Bujang merupakan pelabuhan antarabangsa dan pusat perdagangan yang telah dikunjungi oleh pedagang-pedagang yang menguasai jalan perdagangan laut antara negara-negara di timur dan barat terutama pedagang-pedagang China dan India.

Episod seterusnya penonton dibawa ke Muzium Padi Gunung Keriang, Kedah Darul Aman yang dibuka dengan rasminya pada 12 Oktober 2004. bangunan muzium ini berbentuk Gemai Padi dan mempunyai sebuah bangunan induk serta enam buah bangunan sampingan di sekelilingnya. Tujuan utama muzium ini dibina ialah bagi mewujudkan sebuah muzium yang unggul untuk mempamerkan bahan-bahan berkaitan padi yang melibatkan budaya, penyelidikan dan pembangunan serta perkembangan teknologi. Dalam episod ini turut dipaparkan Muzium Pertanian Jasin, Melaka. Muzium ini diwujudkan pada tahun 1989 di Jasin sebab Jasin merupakan daerah pertama di Melaka yang mengeluarkan biji timah dan hasil pertanian serta menjadi perintis penanaman getah di Malaysia. Pameran diorama yang memaparkan penghasilan gula Melaka menjadi tarikan pengunjung ke muzium ini.

Penjelajahan diteruskan ke Muzium Adat Istiadat Melaka yang terletak di Dataran Keris, Alor Gajah. Tujuan utama muzium ini dibina ialah untuk mengenang adat istiadat pelbagai budaya terutamanya adat perkahwinan. Turut dikunjungi Muzium Adat Negeri Sembilan yang terletak di Jalan Dato Umbi,Kampung Jelebu Tengah, Kuala Klebang. Muzium ini adalah muzium pertama yang menghimpunkan maklumat pelbagai amalan adat masyarakat di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.