Dollah Resah Tonggak Utama Cedera Sebelum Jumpa JDT

Posted on 8 views
Tugas berat sedang menanti skuad tok gajah dalam misi untuk menempah tiket ke separuh akhir Piala FA musim ini apabila berhadapan kemungkinan bakal bertandang ke Larkin tanpa kelibat beberapa tonggak utama.

Menurut pengendali skuad itu, Dollah Salleh, tahap kecederaan kapten pasukan, Matthew Davies masih menjadi tanda tanya dan ditambah pula dengan ketiadaan Safuwan Baharuddin yang tidak beraksi ketika menentang Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super kelmarin.

“Kami sudah pasti kehilangan Forkey Doe, Safuwan pula saya tidak pasti, 50-50 sama ada boleh bermain atau tidak, begitu juga dengan Davies. Jadi, kami hanya berdoa sajalah (untuk mereka pulih sepenuhnya).

“Memang berat (berdepan JDT) tapi saya tetap menaruh kepercayaan kepada pemain. Sama seperti malam ini (berdepan Kuala Lumpur), kami beraksi dengan baik dan mencipta banyak peluang, hanya tidak memanfaatkannya.

“Buat masa ini saya tidak boleh terlalu berharap pemain yang cedera dapat pulih sepenuhnya. Saya kena pastikan siapa pemain yang akan mengganti tempat mereka dapat menampung kekosongan yang ditinggalkan,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.

Dalam aksi liga super, Pahang terikat 2-2 dengan pasukan Kuala Lumpur dan kekal di tangga kedua dalam carta liga di belakang Johor Darul Takzim (JDT).

Jumaat ini, mereka akan menentang JDT untuk aksi suku akhir kedua selepas terikat tanpa jaringan di Stadium Darul Makmur minggu lalu.

Mengulas mengenai persembahan bintang dari Kemboja, Chan Vathanaka, Dollah mengharapkan agar pemain itu meningkatkan prestasi sehingga mampu memberi impak kepada pasukan.

“Sebenarnya kami mengharapkan lebih daripada dia, tapi itu yang terbaik dia mampu lakukan sekarang. Tidak teruk, tapi sebagai pemain import dia perlu bagi impak yang lebih baik.

“Mengenai pengganti Forkey Doe pun kami perlu tunggu hingga jendela perpindahan dibuka (Mei ini). Kami akan cuba dapatkan pemain baharu, Issey Nakajima-Farran (bekas pemain import Terengganu) dalam proses ujian, tapi masih belum pasti untuk ditandatangani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.