BN JANGKA UMUM CALON 7 HARI SEBELUM PENAMAAN

Posted on 1 views

Putrajaya – Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan senarai calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dalam tempoh tujuh atau 10 hari sebelum penamaan calon pada 28 April nanti, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Bagaimanapun, beliau berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak belum lagi menetapkan tarikh pengumuman itu.

“Saya jangka barangkali seminggu atau 10 hari sebelum penamaan calon. Dalam tempoh itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kualiti Pendidikan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU14 pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal 5 Mei.

Ditanya mengenai senarai calon BN berubah, Tengku Adnan menafikan isu itu, sebaliknya menyifatkan orang tidak faham apa yang BN lakukan untuk menyenaraikan calon yang rakyat mahu dan suka, bukan semata-mata disukai oleh parti atau individu.

“Senarai calon tidak diubah-ubah. Kita mahu calon terbaik bagi mendapat kemenangan dan sebagai parti bertanggungjawab, selepas Najib membentangkan Manifesto BN, kita mesti mencapai janji kita. Pada PRU13, BN telah menepati janji dan lebih 97.4 peratus telah dicapai.

“Janji BN sentiasa ditepati kerana BN merupakan kerajaan bertanggungjawab. Sekiranya, sekali lagi kita diberikan mandat, kita akan laksanakan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai pertukaran kerusi antara parti komponen BN, Tengku Adnan berkata ada beberapa kerusi dibincang yang mana kerusi asal MCA atau Gerakan diberikan kepada UMNO atau kerusi asal UMNO dipulangkan kepada MIC, Gerakan dan MCA.

“Ini adalah kerana BN sentiasa amalkan perbincangan berkonsepkan konsensus kerana kita adalah parti berbilang kaum dan agama. Kita bantu semua bangsa dan agama dan tidak pernah menolak sesiapa daripada mendapatkan hak kepentingan agama dan bangsa,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan Pemuda UMNO yang menurunkan bendera di Wangsa Maju, Tengku Adnan berkata pihaknya sudah mengenal pasti individu itu, dan akan mengambil tindakan tatatertib selepas meneliti kamera litar tertutup (CCTV) minggu hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *